Kisah Inspiratif : Tiada Kain Kafan Untukmu Sahabat, Prasbhara.Com - Mus'ab bin 'Umair merupakan pendakwah yang hebat,
penuh kesungguhan dan kebijaksanaan. Antara kisah masyhur yang
diriwayatkan dalam kitab Hayat ash-Shahabah dan ar-Rahiq al-Makhtum
karangan Syeikh Yusuf al-Kandahlawi, karangan Shafi ar-Rahman
al-Mubarakfuri, tentang kisah pengembaraan dakwah Mus'ab di Madinah
serta kejayaannya berdakwah kepada Sa'ad bin Mu'az dan Usaid bin Khudair
yang merupakan tokoh pemimpin dan golongan bangsawan Madinah.
Sebelum memeluk Islam lagi, Mus'ab terkenal sebagai seorang yang
sentiasa berpakaian kemas dan mewah sehingga dia menjadi kegilaan
gadis-gadis di Makkah. Namun, segala-galanya berubah selepas cahaya
keislaman mula menyinari hatinya. Sokongan kebendaan daripada ibunya
mula dihentikan selepas ibunya mendapat tahu keislamannya.
Mus'ab kini tampil dalam keadaan
yang amat sederhana dan berpakaian yang serba zuhud, lantas meninggalkan
kesenangan dan penampilan silamnya.
Antara misi penting yang digalas olehnya adalah untuk menyebarkan dan
mengajarkan agama Islam di Madinah, setelah orang dari Madinah datang
ke Makkah menyatakan keislamannya dalam peristiwa baiah. Mus'ab telah
berhijrah ke Madinah lebih awal daripada para sahabat yang lain, atas
arahan Nabi Muhammad SAW.
Madinah Bercahaya dengan Cahaya Akidah
Dalam suatu pengalamanya ketika berada di Madinah, beliau telah keluar
bersama As'ad bin Zurarah ke sebuah perkampungan Bani Zafar. Mereka
duduk di tepi perigi Marq dan Mus'ab mengajar kepada golongan yang baru
memeluk Islam itu beberapa perkara tentang Islam.
Kedatangan mereka telah disedari oleh Sa'ad bin Mu'az dan Usaid bin
Khudair, lantas Sa'ad mengarahkan Usaid untuk menghalau Mus'ab dan
kumpulannya daripada situ.
Sa'ad berteriak kepada Usaid, "Dua orang pemuda itulah yang telah
memperbodohkan amalan kita. Ayuh! Kau halau mereka daripada sini.
Kalaulah bukan kerana As'ad bin Zurarah itu anak saudaraku, tentu aku
sendiri yang akan menghalaunya."
Usaid lalu mengambil tombaknya dan menuju ke arah kumpulan Mus'ab dan
As'ad. Sebaik sahaja As'ad terlihat kelibat Usaid yang sedang menuju ke
arah mereka, As'ad merasakan itu adalah suatu peluang besar. Lalu
beliau berkata kepada Mus'ab, "Usaid ialah ketua kabilah dan dia sedang
menuju ke sini. Aku berharap kau dapat menjelaskan kepadanya tentang
keagungan Allah."
Usaid tiba di hadapan mereka sambil membentak keras dan memberi amaran kepada mereka berdua agar segera beredar.
Mus'ab dengan tenang menjawab, "Sudikah tuan duduk sebentar dan
dengar dahulu perkara yang ingin kami sampaikan? Sekiranya tuan berasa
senang dengan kata-kata kami, teruskan mendengarnya, dan jika tuan tidak
menyukainya, kami akan berhenti dan beredar daripada sini."
"Itu adalah yang terbaik dan seadil-adilnya," jawab Usaid lalu beliau
menekan tombaknya ke tanah dan memberi perhatian terhadap apa yang
ingin disampaikan oleh Mus'ab.
Mus'ab lalu membaca beberapa potong ayat al-Quran dan menerangkan
tentang Islam kepadanya. Ternyata kalimah kebenaran yang diungkapkan
dengan keikhlasan oleh Mus'ab bin Umair telah menusuk masuk dalam hati
Usaid, menyebabkan beliau bertanya,
"Alangkah indahnya kalimah yang engkau ungkapkan, bagaimana aku hendak memeluk agama ini?"
Mus'ab menerangkan, "Pertama, kamu harus bersuci kemudian
membersihkan pakaian, seterusnya mengucap dua kalimah syahadah dan
akhirnya kamu hendaklah menunaikan solat dua rakaat."
Usaid kemudiannya melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut dan kemudian mencadangkan pula agar mereka menyeru Sa'ad bin Mu'az
pula. Beliau berkata, "Bersamaku ada seorang lelaki, jika beliau
memeluk Islam, maka tidak ada seorang pun daripada kaumnya yang tidak
akan mengikutinya."
Usaid akhirnya berjaya mengatur pertemuan antara Sa'ad dengan Mus'ad
dan akhirnya dengan kebijaksaan dakwah Mus'ab, Sa'ad telah memeluk Islam
pada hari itu bersama-sama sekalian pengikut dan kaumnya.
Itulah sekelumit kisah daripada pengembaraan dakwah Mus'ab bin Umair
di Madinah. Tiada pintu yang tidak diketuknya, melainkan setiap ahlinya
akan masuk Islam sehingga segenap pelosok Madinah bercahaya dengan
aqidah yang benar ini. Berita ini tiba kepada Rasulullah dan menyebabkan
Baginda amat gembira, lalu datang perintah untuk berhijrah selepas
keislaman majoriti penduduk Madinah.
Kedua-dua Belah Tangannya Dicantas
Kisah keberanian Mus'ab ini terserlah dengan begitu jelas dalam
peperangan Uhud, apabila takdir Allah telah menetapkan beliau syahid.
Dalam peperangan itu, beliau telah menunjukkan kecekalan yang luar
biasa. Ketika keadaan tentera-tentera Islam menjadi genting dan
berkecamuk, tentera Musyrikin telah mengambil peluang ini untuk
menghancurkan saf tentera Islam, dengan ikhtiar untuk menjatuhkan panji
Islam yang dibawa oleh Mus'ab.
Dalam serangan hebat itu, tangan kanannya telah dicantas, akan tetapi
Mus'ab sempat memegang panji itu dengan tangan kirinya pula. Serangan
masih berterusan sehingga mereka berjaya menetak tangan kirinya sehingga
terputus. Namun, dengan sisa-sisa tenaga yang ada padanya, beliau
mengepit panji itu antara dada dan lehernya sehingga akhirnya beliau
syahid dibunuh oleh Ibnu Qami'ah.
Semasa pengebumiannya, tidak ada kain yang cukup untuk menutup
jasadnya. Apabila kain ditarik untuk menutup wajahnya, kakinya pula yang
akan terdedah. Apabila kain itu ditarik untuk menutup kedua-dua belah
kakinya, maka kepalanya pula yang akan terbuka.
Akhirnya Nabi SAW memerintahkan
agar kain itu digunakan untuk menutup wajahnya manakala bahagian kakinya
ditutup dengan daun-daun kering.
Sewajarnya, kisah Mus'ab bin Umair ini dapat menjadi inspirasi kepada setiap pemuda Islam pada hari ini.
Hikmah dan Pengajaran
•Dakwah memerlukan individu yang bergelar dai
untuk memperkenalkan Islam. Secara umumnya, semua umat Islam ialah dai.
Maka sewajarnya berusaha memperkenalkan Islam mengikut kemampuan
masing-masing.
•Para pendakwah pasti akan berhadapan dengan cabaran ketika berdakwah namun itulah dinamakan sunnah orang yang berjuang.
•Al-Quran merupakan teras dalam menyampaikan dakwah kerana keduniaan di dalamnya mampu menambat hati sesiapa sahaja yang mendengarnya dengan izin Allah SWT.
•Pendakwah bukan bermakna meninggalkan medan jihad.
Apabila seruan jihad telah tiba maka para pendakwah wajib turun ke medan
perang meninggalkan medan lisan kepada medan mata pedang yang menuntut
pengorbanan jiwa sehingga titisan darah yang terakhir.
•Setiap Muslim wajib menyimpan niat untuk mati syahid pada jalan Allah.
Itulah cita-cita yang paling tinggi mesti disematkan dalam hati.
Perasaan ini mesti disemai dalam jiwa para pemuda Islam hari ini dalam
zaman yang penuh dengan fatamorgana duniawi.
Artikel Terbaru Kali ini semoga bermanfaat dan bisa menambah wawasan anda. Dan jangan lupa menekan Tombol Share Facebook/Twitter/G+ untuk memberi tahu teman-teman anda yang lain agar kita bisa "BERBAGI KEBAIKAN LEWAT INTERNET..." melalui blog PRASBHARA.COM.